Pengenalan
Badan Perundangan Negeri mempunyai dua komponen utama iaitu Raja dan sebuah Dewan yang dinamakan sebagai Dewan Negeri. Dewan Negeri ini sama fungsinya seperti Parlimen di peringkat Kerajaan Persekutuan yang merupakan Badan Perundangan tertinggi di Malaysia. Dewan Negeri mempunyai kuasa untuk membahas, menggubal dan menguatkuasakan undang-undang negeri. Rang Undang-Undang yang telah diluluskan di Dewan Negeri akan dibawa kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk diperkenan dan menjadi undang-undang setelah diwartakan dalam Warta Kerajaan.
Dewan Negeri Johor terdiri daripada Sultan sebagai Ketua Negeri, seorang Speaker dan 56 Ahli-Ahli Dewan yang dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Umum pada setiap lima tahun. Speaker boleh dipilih dikalangan bukan Ahli Dewan Negeri. Ahli Dewan Negeri pula boleh menjadi Ahli Dewan Rakyat dan ADN secara serentak. Tempoh keanggotaan Ahli Dewan Negeri adalah selama lima tahun melainkan Dewan Negeri dibubarkan lebih awal atas perkenan dan kuasa Sultan.
Lain-lain fungsi Dewan Negeri adalah seperti berikut:-
Sebagai forum untuk membahaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan dan pelaksanaannya serta perihal rakyat negeri.
Membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia SultanMembahas dan meluluskan Belanjawan Negeri
Melulus dan menolak sebarang Rang Undang-Undang atau melakukan pindaan.
Menjaga kedaulatan perlembagaan dan hak berpelembagaan negeri dan rakyat.