Fungsi & Peranan Jawatankuasa Kira-Kira Raya

Jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Kira-Kira Raya kerana memeriksa:

  1. Kira-kira yang menunjukkan peruntukan wang yang dikurniakan oleh Dewan Negeri bagi membayar perbelanjaan raya;
  2. Apa-apa jua kira-kira yang dibentangkan dalam Dewan Negeri Johor mengikut sebagaimana yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa ini;
  3. Penyata Juru Audit Negara yang dibentangkan dalam Dewan Negeri mengikut kehendak jumlahkata (2) bagi Fasal 107 dalam Perlembagaan Persekutuan;
  4. Apa-apa jua perkara-perkara lain yang dirujukkan oleh Dewan Negeri kepada Jawatankuasa ini.

Jawatankuasa ini hendaklah mengandungi seorang Pengerusi dan tidak lebih daripada enam orang ahli yang akan dilantik dengan seberapa segeranya pada ketika atau selepas dimulakan tiap-tiap penggal Persidangan Pengerusi dan tiga orang ahli hendaklah menjadi cukup bilang.

Seseorang ahli Dewan Negeri tidak boleh dilantik memegang atau memangku jawatan Pengerusi atau menjadi ahli jawatankuasa ini semasa ia menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jawatankuasa ini hendaklah mempunyai kuasa boleh memanggil orang-orang hadir di hadapannya atau minta segala surat dan rekod-rekod yang bersangkut-paut dengan kira-kira atau perkara yang diperiksa itu.

Juru Audit Negara atau wakilnya hendaklah hadir di dalam tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa ini dan hendaklah ia berhak boleh memberi keterangan-keterangan sama ada ia sendiri memberinya atau menerusi wakilnya dan dengan izin Pengerusi boleh menyoal sesiapa jua yang dijemput hadir di hadapan Jawatankuasa ini.

Jawatankuasa ini hendaklah membuat penyataannya dari satu masa ke satu masa di dalam kertas mesyuarat yang dibentangkan di atas Meja Mesyuarat.