Select Page

Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar

Pada 18 Jun 2009, sejarah terukir apabila Dewan Negeri bersidang untuk pertama kali di Dewan persidangan yang baru di  Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Wajah Bangunan

Johor telah melangkah jauh, tetapi ia tidak melupakan warisan silamnya. Meskipun berwajah kontemporori, bangunan baru ini tetap mencerminkan pengaruh seni bina Moor Andalusia yang mengungguli Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan. Tetapi pengaruh penjajah British diganti dengan unsur seni bina Melayu Johor. Lantaran itu, langkah berani dan anjakan seni bina ini memperlihatkan kesinambungan dan kemerdekaan. Ia adalah tema yang dipaparkan dalam semua bangunan mercu tanda di Kota Iskandar yang dibina pada jajaran Qiblat.

Blok tengah mempunyai persamaan dengan Bangunan Sultan Ibrahim, paling ketara menaranya yang dempak dan tinggi, dengan gerbang ladam yang diilhamkan oleh tradisi seni bina Moordalusia Alhambra.

Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar iaitu bangunan empat tingkat ini dibahagi kepada tiga bahagian iaitu Blok Tengah, 4 Sayap (Sayap Utara, Sayap Selatan, Sayap Timur dan sayap Barat) dan Taman (Atrium Jauhar, Laman Kasturi dan Laman Bunga Rampai).

Dewan Persidangan

Dewan persidangan memberi penghormatan kepada idealisme Alhambra yang menyokong tatahan ruang dan cahaya matahari. Ruang dengan ketinggian 6 kali ganda ruang biasa, tersergam megah, diserlahkan lagi oleh jendela langit berbentuk kubah yang menjulang tinggi. Gandingan visual dan ruang dijalin antara langit yang tiada batasnya dan dewan, untuk menghasilkan suasana yang menyemarakkan semangat. Jendela langit berbentuk elips dengan berbilang segi direka bentuk seperti nanas kerana nanas adalah sumber hasil utama negeri Johor, salah satu pengeluar nanas terbesar di dunia.

Susun atur dewan persidangan menepati tradisi demokrasi, di mana tempat duduk Ahli Dewan negeri, pemerhati dan media disusun dalam bentuk separuh bulat menghadap pemerintah dan  Speaker Dewan Negeri.

Untuk mencerminkan keunggulannya, Dewan negeri Johor dihiasi banyak symbol dan interpretasi abstrak contoh hasil keluaran negeri Johor. Ini diperlihatkan pada dinding, lantai, perabot dan kemasan.

Terpahat pada panel dinding utama di belakang pentas diRaja dan Speaker ialah Kalimah Allah dan al-Quran di atas rehal yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Di bawahnya ialah jata johor menunjukkan pentadbiran dan jentera kerajaan tertakluk kepada Allah Yang Maha Kuasa, Kepada Allah Berserah. Motif kertas dinding putih diilhamkan oleh Pokok hayat, lingkaran sulur paut untuk melambangkan perpaduan rakyat.

Dinding sepanjang dewan turut dihiasi bagi menyampaikan satu imej. Tiang tegak yang mewakili rakyat negeri, dihiasi junjung berbentuk nanasdan batang lada sulah yang menjalar, untuk menggambarkan sejarah sumber kekayaan negeri. Manakala siling dan dinding ditatah kaca berkilauan untuk memberi gambaran batu permata atau jauhar iaitu asal-usul Johor.Rekaan piuter digunakan secara kreafit untuk hiasan dalaman, khususnya pada junjung tiang dan kepala tangga. Marmar putih dengan kelumit tekstur hitam seperti ira kayu membentuk permukaan meja.

Kemudahan Lain

Blok Tengah Dewan Persidangan, Pejabat dan Bilik Istirehat Menteri Besar
Sayap Utara Bilik Gerakan, Bilik Tayangan
Sayap Timur Bilik Rehat Ahli Dewan Negeri, Puerpustakaan
Sayap Selatan Pejabat Speaker dan Jurutulis Dewan Negeri Johor
Sayap Barat Dewan Banquet